Tuesday 5 July 2011

UMNO dan Parti Komunis China menjaling hubungan rapat?

""Pihak CPC amat menghargai kerjasama yang telah dijalinkan bukan saja
kerjasama diplomatik dan perdagangan antara China dan Malaysia tetapi
hubungan antara kedua-dua parti yang terus terjalin erat", katanya.
Fahaman kominis tidak percaya kepada tuhan. Patutlah UMNO pun
bertindak seperti tidak ada tuhan lagi yang mengawal perbuatan
mereka."


http://umno-online.com/?p=23232

Parti Komunis China Kagum Perubahan UMNO Berdepan Cabaran Masa Depan
Oleh : Al Kamarul Ab Latif.
2Share

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Delegasi Parti Komunis China (CPC) hari ini
percaya UMNO yang menjadi tunjang kepada pemerintahan negara mampu
melakukan perubahan untuk berdepan cabaran khususnya meraih sokongan
generasi akan datang.

Ketua delegasi CPC, Huang Xiangyao berkata walaupun UMNO khususnya
Barisan Nasional (BN) menerima tamparan pada pilihanraya umum lalu
namun menerusi perubahan-perubahan yang dilakukan, BN mampu meraih
semula sokongan rakyat.

Malah beliau turut mengakui berminat untuk mendapat pengetahuan
bagaimana UMNO melakukan perubahan tersebut.

Pada kunjungan delegasinya kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri
Tengku Adnan Tengku Mansor di Ibu Pejabat UMNO hari ini, beliau juga
melahirkan rasa gembira kerana hubungan kedua-dua parti terus dapat
dieratkan.

Ini katanya dibuktikan menerusi jemputan UMNO kepada CPC yang bukan
sahaja untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2010 tetapi juga turut
serta dalam forum antarbangsa yang diadakan bermula Isnin lalu.

"Pihak CPC amat menghargai kerjasama yang telah dijalinkan bukan saja
kerjasama diplomatik dan perdagangan antara China dan Malaysia tetapi
hubungan antara kedua-dua parti yang terus terjalin erat", katanya.

Dalam kunjungan selama hampir satu jam itu juga delagasi CPC turut
diberi penerangan ringkas tentang sistem organisasi parti, situasi
semasa perjalanan perhimpunan agung UMNO dan juga persiapan UMNO bagi
menghadapi dua pilihanraya kecil iaitu di Dewan Undangan Negeri Galas
dan Parlimen Batu Sapi.

Huang turut menyatakan harapan besarnya agar UMNO termasuk kerajaan
Malaysia mengambil kesempatan kerjasama erat ini untuk terus menerokai
peluang baik dari sudut ekonomi, teknologi dan perniagaan yang sedia
ada negara republik berkenaan.

"Malaysia adalah rakan lama China dan hubungan kedua-dua pemimpin
sememangnya menjanjikan peluang yang cukup besar untuk manfaat kedua-
dua negara", ujarnya.

Sementara itu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula kerjasama
UMNO dan CPC sebenarnya cukup erat apatah lagi kedua-dua parti telah
menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Beijing, 5 Ogos lalu.

"Sewaktu mengadakan perbincangan, menterinya memaklumkan bahawa mereka
amat kagum terhadap cara UMNO menangani masalah perkauman dan ingin
mempelajari daripada kita bagaimana mengatasi masalah-masalah
berkaitan etnik yang wujud," katanya.

Jelas beliau lagi walaupun China mengamalkan sistem satu parti namun
di negara tersebut terdapat lebih 50 masyarakat etnik.

"Sebagai sebuah negara besar tentunya mereka mempunyai pelbagai
masalah dan percaya bahawa kaedah yang diambil dari Malaysia sedikit
sebanyak boleh digunapakai dan boleh ditokok tambah untuk disesuaikan
dengan pentadbiran negara mereka," jelasnya.

Katanya, beliau turut menyebut minat UMNO bagi menghantar generasi
muda khususnya di kalangan pergerakan Pemuda dan Puteri untuk
mempelajari bagaimana CPC melaksanakan program-program mereka. -
MediaUMNO

No comments: