Friday 1 July 2011

Pensyarah ~oh Pensyarah

Professor yang menulis artikle ini memang faham sistem pendidikan
negara terkini dan yang lepas. Walaupun saya seorang pensyarah dan
adik saya seorang guru, penulis ini lebih arif daripada saya tentang
kedua dua profession ini di Malaysia. Saya sokong dengan pendapat dan
rumusan nya.

PostPosted: Fri Jun 24, 2011 3:29 pm Post subject: Pensyarah ~oh
Pensyarah Reply with quote
SAYA mulakan surat ini dengan rasa rendah diri yang amat sangat. Saya
merupakan seorang profesor Jusa B yang kini masih berkhidmat dengan
salah sebuah universiti perdana tanah air. Dalam usia yang kian menuju
ambang persaraan dan dengan sedikit pengalaman yang Tuhan berikan
ketika menetap sepuluh tahun di luar negara, izinkan saya meluahkan
perasaan yang sudah tidak dapat ditahan-tahankan lagi.

Dalam tempoh hampir 30 tahun bergelar pensyarah, saya turut pernah
menjawat jawatan sebagai Dekan juga pengarah dalam beberapa jabatan
lain di universiti. Oleh itu, dengan pengalaman itu saya rasa saya
berhak untuk menyuarakan isi hati setelah suara saya dan rakan-rakan
profesor tidak pernah didengari oleh pihak pendaftar universiti
mahupun Kementerian Pengajian Tinggi.

Bulan April adalah bulan yang paling ditakuti oleh para pensyarah
universiti IPTA kerana penilaian prestasi (KPI) mereka akan dinilai.
Sejak kebelakangan ini, apabila KPT terlalu mementingkan "rangking
dunia," maka ramai (sebahagian besar pensyarah) ini akan mendapat
markah di bawah prestasi 80 markah kerana gagal menerbitkan jurnal
bertaraf antarabangsa (ISI).

Masalah ini kian parah apabila jurnal ISI ini turut menjadi syarat
wajib untuk permohonan kenaikan pangkat. Persoalannya di sini ialah,
siapakah yang menentukan pengiktirafan ISI ini? Seperti yang dimaklumi
bahawa pengiktirafan ISI ini adalah di bawah bidang kuasa penerbitan
yang bernaung di Barat. Hal ini bermakna juga bahawa KPI pensyarah-
pensyarah ini berada di bawah ketentuan kuasa Barat. Bukankah aneh,
seorang kakitangan kerajaan Malaysia, prestasinya dinilai atau
ditentukan oleh negara Barat? Dan, hal ini tidak berlaku kepada
kakitangan awam Malaysia yang lain.

Saya tidak dapat bayangkan bagaimana seorang kakitangan awam Malaysia,
KPInya ditentukan oleh kuasa Barat? Lebih malang lagi nasib ini
menimpa kepada pensyarah yang berada dalam bidang sains sosial yang
kajian dan penyelidikan mereka benar-benar terbatas kepada
mempertahankan maruah dan nasib bangsa, agama, bahasa, sejarah,
sastera dan kebudayaan Melayu yang kita sedia maklum tidak pernah
dihargai atau mendapat pengiktirafan kuasa penjajah.

Jika hal ini berterusan, maka tidak hairanlah pada hari ini jawatan
pensyarah bukan menjadi pilihan golongan muda. Apa yang sepatutnya
dilakukan oleh pihak KPT ialah member pengiktirafan kepada jurnal-
jurnal yang diterbitkan oleh university mahupun institusi tempatan
yang lain. Perkara yang paling penting ialah budaya penulisan jurnal
dapat berkembang hebat dan budaya penulisan penyelidikan dapat terus
subur dalam negara. Menerbitkan jurnal bukanlah semudah yang
disangkakan. Sekirannya hal ini masih dipandang sebelah mata, maka
adalah malu seorang pensyarah yang kelulusan sarjana atau doktor
falsafah (PhD) dan bekerja di universiti tempatan, markah KPInya
berada pada bawah paras "malas" atau "sakit" sedangkan mereka
mempunyai dedikasi yang tinggi dalam pengajaran dan melakukan tugas-
tugas rasmi universiti seperti membentang kertas kerja, menghadiri
seminar, menjadi perunding kepada beberapa organisasi kerajaan dan
sebagainya.

Perkara kedua ialah tentang gaji pensyarah. Aneh dan pelik kerana
sepanjang 30 tahun saya bertugas sebagai pensyarah, gaji pensyarah
tidak pernah melalui penstrukturan semula berbanding gaji guru yang
saya lihat begitu drastik perubahannya. Bayangkan seorang guru pakar
(guru cemerlang) yang hanya berkelulusan ijazah pertama layak menerima
gaji bergred DG52 (setaraf dengan gred gaji pensyarah berkelulusan
PhD) atau DG48 sedangkan seorang pensyarah yang berkelulusan sarjana
dan bergred DS45, mengajar pula calon-calon sarjana tetapi menerima
gaji yang lebih rendah daripada itu.

Lebih malang lagi ialah, sebahagian besar pensyarah bergred DS45 ini
merupakan bekas-bekas guru yang berpengalaman mengajar lebih daripada
15 tahun. Jika dibandingakan dengan rakanrakan guru mereka yang berada
di sekolah atau di Institut Pendidikan Guru (IPG) atau Kolej
Matrikulasi, maka golongan pensyarah ini seperti sengaja dizalimi.
Lebih memalukan lagi jika dibandingkan dengan guru-guru sekolah yang
mengajar Tingkatan 6 (prauniversiti), dengan pengalaman kurang 10
tahun tetapi turut menerima gaji gred DG48/DG44.

Inilah satu kezaliman dalam kes pembayaran upah dan guna tenaga kerja
kepada pensyarah. Oleh itu, saya mencadangkan supaya gred gaji
pensyarah tanpa PhD perlu dinaiktarafkan kepada DS52 (atau setara
dengan tingkat gaji DG48) dan pensyarah berkelulusan PhD dinaiktaraf
ke Gred DS54 dan begitulah seterusnya. Situasi ini akan dapat
menunjukkan status dan kedudukan pensyarah di mata dunia setanding
usaha memartabatkan golongan profesional.

Secara peribadi, saya melihat skim perkhidmatan pensyarah IPTA pada
zaman ini adalah amat menyedihkan berbanding guru sekolah. Golongan
ini terpaksa berhadapan dengan satu persaingan dunia yang jumud dan
amat menekan. Pensyarah hari ini lebih teruk daripada seorang guru
yang terpaksa berhadapan dengan cabaran atau kemungkinan pertembungan
budaya ilmu. Tentunya pertembungan ini menuntut iltizam dan komitmen
yang tinggi sebagai satu usaha persaingan yang sihat.

Malangnya, semua usaha yang dilakukan oleh pensyarah bagi melonjakkan
impian Malaysia untuk menjadi pusat pengajian ilmu terbaik Asia tidak
pernah dihargai. Inilah kelemahan Menteri Pengajian Tinggi, iaitu YAB
Dato' Khalid Nordin yang tidak pernah memikirkan nasib dan kebajikan
pensyarah IPTA berbanding YAB Tan Sri Mahyudin Yassin yang begitu
bersungguhsungguh membela nasib guru.

Sepanjang saya berkhidmat sebagai seorang pensyarah pelawat di
Amerika, hal-hal sebegini tidak berlaku. Penilaian prestasi (KPI)
seseorang pensyarah dinilai kepada sebanyak mana mereka menyumbangkan
ilmu dan kepakaran mereka kepada masyarakat. Sumbangan mereka menulis
untuk penerbitan berkala, akhbar, majalah mahupun buku cerita kanak-
kanak amat dihargai kerana para pensyarah itu dikatakan milik
masyarakat.

Penerbitan jurnal berwazit dan bertaraf ISI hanya satu hambatan
penerbitan untuk tujuan mendapatkan bonus tahunan. Hal ini bermakna,
pensyarah yang berada di Barat itu amat rapat hidupnya dengan
masyarakat dan mereka amat dihormati jiran tetangga atau masyarakat
setempat. Situasi ini tidak berlaku di negara kita. Oleh sebab ingin
mengejar penerbitan ISI, mereka seperti menjadi makhluk asing di taman
perumahan atau menjadi kera sumbang yang mementingkan diri sendiri.
Demi kerana mengejar "rangking" dunia universiti, adakah ini yang
diinginkan oleh KPT? Kita perlu sedar bahawa untuk menandingi atau
menyaingi Univesiti Havard, Oxford, Yale, Cambrige atau mana-mana
universiti terbaik dunia bukan satu usaha mudah. Kita sepatutnya
berfikir seperti mana cara orang Jepun berfikir, iaitu jangan tergila-
gila merebut status universiti terbaik dunia tetapi berfikir bagaimana
untuk menjadi fakulti yang ada di dalam sesebuah universiti itu boleh
menjadi fakulti terbaik dunia dengan menggunakan sepenuh tenaga dan
kepakaran yang ada.

Universiti of Tokyo misalnya mempunyai Fakulti Kejuruteraan Automobil
ketiga terbaik di dunia tetapi universiti ini berada dalam kelompok
ke-100 dalam "rangking" dunia. Hal ini sepatutnya boleh berlaku kepada
Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya bagi menjadi Pusat Tamadun
Melayu Dunia seperti Universiti of Leiden, Belanda atau juga Akademi
Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia bagi mengambil alih
fungsi Universiti Al-Azhar, Mesir. KPT tidak berfikiran sedemikian
sebaliknya yang difikirkan ialah "kegilaan" mengejar "rangking" dunia
tanpa pernah mengukur pakaian pada badan sendiri.

Kepada KPT, khususnya YAB Dato' Khalid Nordin, fikirkanlah kebajikan
dan nasib para pensyarah yang akan membawa impian dan nama university
tempatan ke mata dunia sebelum mereka berhijrah ke university swasta
(IPTS) yang menjanjikan pulangan yang lebih baik. Tugas pensyarah
sebenarnya lebih berat berbanding guru sekolah. Mereka perlu membuat
penyelidikan, menyelia tesis sarjana mahupun PhD, mengajar dan mereka
juga menjadi milik masyarakat.

Adilkah mereka dibayar dengan gaji yang setara upahnya dengan guru
jika beban tugas yang terpaksa dipikul itu lebih berat? Beberapa bulan
lalu, dalam ruangan "Surat Pembaca" Berita Harian, jawapan oleh Unit
Komunikasi Koprat terhadap keluhan seorang Profesor Pencen amat
melucukan. Jawapan itu menunjukkan bahawa pegawai di KPT hanya
memikirkan perut sendiri. Cuba kita bayangkan, wajarkah seorang
pensyarah Gred DS45 (tanpa PhD) boleh menjawat jawatan professor atau
pengarah di universiti?

Apakah ertinya pengalaman 15 tahun bergelar guru, 5 tahun bergelar
pensyarah dengan kepakaran yang dimiliki jika tidak dihargai oleh
universiti? Jawapan-jawapan mereka yang merujuk juga kepada university
mempunyai kuasa autonomi hanya satu jawapan bodoh dan menolak prinsip
kemanusiaan. Ingin saya bertanya juga kepada KPT, sejauh mana kuasa
autonomi KPM yang diberikan kepada IPTA?

Akhirnya, sebagai seorang profesor Gred Jusa B, saya tidak mempunyai
apa-apa kepentingan terhadap gaji dan jawatan kerana saya sudah
menikmati kesemuanya itu. Apa yang saya harapkan ialah belalah nasib
golongan pensyarah ini kerana di tangan merekalah akan lahirnya
generasi hebat negara dan generasi bermodal insan yang bakal
menyambung gagasan kepimpinan negara.

Seperti yang selalu saya suarakan di dalam mesyuarat dengan anggota
senat-senat universiti bahawa sudah sampai masanya pihak KPT berfikir
seperti mana cara orang Jepun berfikir, iaitu memastikan bangsa mereka
berada di baris hadapan tanpa membunuh jati diri bangsa. Budaya
mengarifi falsafah Melayu "kera di hutan disusukan; anak mati dalam
pelukan" perlu difahami sebaik-baiknya.

Wajarkah rakyat Malaysia membayar gaji yang lumayan kepada pensyarah
warga Negara asing yang berkelulusan sarjana dan tidak menyumbangkan
apaapa dalam dunia penerbitan? Fikirkan kebajikan dan nasib pensyarah-
pensyarah warga tempatan ini, khususnya pensyarah-pensyarah muda yang
bakal memikul tanggungjawab dan amanah untuk 10 atau 20 tahun lagi.
Jika Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melakukan banyak
penambahbaikan dalam mengangkat martabat guru, sepatutnya hal yang
sama juga berlaku kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Sebagai penutup surat ini, sekali lagi saya merayu agar KPT dapat
memikirkan kewajaran pandangan dan cadangan saya ini supaya kita sama-
sama dapat mengangkat martabat dan memikirkan kebajikan golongan
pensyarah yang tidak pernah disentuh oleh mana-mana pihak sejak 10
tahun kebelakangan ini.

PROFESOR JUSA B,

Kuala Lumpur

~dipetik dari surat pembaca sebuah akhbar

No comments: