is responsible for it as well.
Keluarga tiga remaja ditembak polis buat aduan ketiga, desak siasatan
baru
Oleh Syed Mu'az Syed Putra
August 11, 2011
PETALING JAYA, 11 Ogos — Keluarga tiga remaja, yang ditembak mati oleh
polis dalam di Glenmarie dekat Shah Alam November lalu, hari ini
membuat satu lagi laporan polis sambil menegaskan kesemua anak mereka
ditembak mati oleh pasukan keselamatan itu.
Mereka menegaskan pendirian itu berdasarkan laporan bedah siasat yang
diterima baru-baru ini.
Laporan polis dibuat hari ini merupakan yang ketiga sejak insiden itu
November lalu.
Terbaru laporan bedah siasat yang melibatkan Muhamad Hanafi Omar
menunjukkan remaja berusia 22 tahun itu ditembak tiga kali — satu di
pipi, di bawah cuping teling dan dada.
Sebelum ini laporan bedah siasat dua lagi remaja, Mohd Shamil Hafiz
Shafie, 16, dan Mohd Khairul Nizam Tuah juga menerima tembakan di
kepala dan dada.
Dalam kejadian pada 13 November lalu, kesemua mereka mati di tempat
kejadian, namun polis menegaskan ketiga-tiga remaja itu ditembak
kerana cuba menyerang dengan parang.
Dalam laporan polis dibuat hari ini, ketiga-tiga keluarga itu mahu
polis membuka semula kertas siasatan dan mendakwa kesemua pegawai yang
terlibat dalam kes tersebut.
"Laporan-laporan bedah siasat ini menunjukkan bahawa peluru telah
memasuki badan mangsa pada sudut 45 darjah ke belakang, kami percaya
ini adalah kerana mereka ditembak oleh penembak yang berada di
kedudukan atas mereka iaitu mereka mungkin dipaksa melutut sebelum
ditembak mati.
"Soalnya juga kenapa perlu dua das tembakan ke kepala dan dada jika
tujuannya kononnya hanya untuk menghalang mereka daripada menyerang
polis, kesemua mereka menerima dua tembakan kecuali Hanafi (tiga
tembakan)," kata mereka.
Justeru mereka mendakwa polis cuba menutup penyalahgunaan kuasa oleh
pegawai mereka dengan mengatakan kesemua remaja itu cuba menyerang
dengan parang dan terpaksa dihalang dengan tembakan.
"Kami menuntut supaya satu penyiasatan dimulakan segera ke atas
anggota-anggota polis yang terlibat atas kesalahan membunuh.
"Kami juga mahu pegawai atasan yang mengeluarkan kenyataan berhubung
kes ini disiasat kerana memberikan maklumat palsu, kami menuntut
keadilan atas kematian anak-anak kami," katanya.
Hari ini keluarga ketiga-tiga remaja itu diwakili oleh Hamidah Kadar,
51, iaitu ibu Mohd Khairul Nizam, Norhafizah Mad Razali, 37, yang
merupakan ibu Mohd Shamil dan bapa Mohamad Hanafi, Omar Abu Bakar, 58.
Ketiga-tiga remaja itu mati ditembak polis di Jalan Kerjaya Glenmarie
kira-kira pukul 4.15 pagi selepas menyamun sebuah stesen minyak 13
Disember lalu.
Menurut laporan media sebelum ini ketiga-tiga remaja ini disyaki
sebagai ahli Geng Minyak dan mati ditembak kira-kira dua kilometer
dari lokasi kejadian.
Sementara itu Peguam hak asasi N. Surendran yang mewakili Lawyers For
Liberty menegaskan, laporan bedah siasat terbaru yang diterima
beberapa hari lalu menunjukkan ia bercanggah dengan maklumat polis.
"Kami telah menerima laporan bedah siasat Muhamad Hanafi dan ia jelas
menunjukkan kesemua mereka telah ditembak dalam jarak dekat.
"Mohd Shamil ditembak di tengah-tengah dahi dan dada, (Mohd) Hairul
Nizam di tepi kepala dan dada, dan Mohamad Hanafi menerima dua
tembakan di kepala iaitu di sisi pipi dan di bawah cuping telinga
selain turut ditembak di dada," katanya pada sidang media di Ibu
pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini.
Tegas Naib Presiden PKR ini, laporan bedah siasat secara jelas
membuktikan kesemua remaja itu ditembak dengan tujuan "membunuh."
"Jika polis nak hentikan (serangan) mengapa tidak tembak di tangan
atau kaki? Mengapa mesti di kepala dan dada?
"Tembakan ini bukan bertujuan untuk menghentikan (serangan) tapi
bertujuan untuk membunuh," katanya.
Seorang lagi Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, beliau mahu
Putrajaya memberikan penjelasan berhubung kes tembakan tiga remaja
itu .
Nurul Izzah, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai mahu Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri
Hishammuddin Hussein memberikan penjelasan berhubung peningkatan kes
tembakan mati yang melibatkan polis.
"Sudah tentu kita akan bawa perkara ini Parlimen tapi terlebih dahulu
kita mahu penjelasan perdana menteri, menteri dalam negeri dan ketua
polis negara dalam isu ini," kata Nurul Izzah.
No comments:
Post a Comment